Thursday, June 22, 2006

Stroke

Pengenalan

Infak (infarct) ialah bahagian otak yang telah "mati" disebabkan oleh kekurangan
oksigen. Tisu otak boleh musnah atau mati disebabkan oleh dua perkara :


Strok Iskemik (Ischaemic Stroke) berlaku apabila terdapatnya sekatan
atau pun pengurangan aliran darah dalam arteri yang membekalkan darah
ke bahagian otak. Ini adalah punca yang sering berlaku yang
menyebabkan infak


Strok Hemoragik (Hemorrhagic Stroke) pula merujuk kepada berlakunya
pendarahan dalam dan di sekeliling otak dan menyebabkan berlakunya
mampatan dan kecederaan pada tisu.


Jenis-jenis Stroke

Strok Hemoragik (Hemorrhagic Stroke)

Strok jenis ini disebabkan oleh pendarahan yang terjadi di dalam dan di
sekeliling otak. Pendarahan yang berlaku di antara otak dan tengkorak dikenali
sebagai pendarahan subaraknoid (subarachnoid hemorrhage). Ia biasanya
disebabkan oleh aneurisma (aneurysm) yang pecah, malformasi arteriovena
(arteriovenous malformation) dan juga kecederaan di kepala. Pendarahan di
dalam tisu otak dikenali sebagai pendarahan intraserebrum (intracerebral
hemorrhage) dan ini berpunca dari tekanan darah tinggi.

Aneurisma ialah satu keadaan di mana dinding arteri menjadi lemah,
menyebabkan ia anjal dan mengembang. Pada lazimnya ia berlaku di cabang-
cabang arteri.

Hipertensi atau tekanan darah tinggi ialah peningkatan tekanan darah yang
menyebabkan arteri arteri yang lebih kecil dalam otak pecah . Darah yang
terbebas di dalam tisu otak akan menekan arteriol-arteriol yang berhampiran
menyebabkan ia pecah dan membawa kepada pendarahan yang lebih banyak.
Tekanan darah tinggi juga boleh menyebabkan infak kecil (miniature infarct)
yang hampir menyerupai strok, tetapi pada tahap yang lebih kecil.
Malformasi Arteriovena (Arteriov Venous Malformation, AVM) ialah satu
keabnormalan pada pembuluh darah di mana arteri bersambung terus dengan
vena tanpa melalui jaringan kapilari terlebih dahulu. Tekanan dari darah yang
melalui arteri menjadi terlalu tinggi untuk diterima oleh vena dan ini
menyebabkan ianya mengembang. Pengembangan ini mampu menyebabkan
vena itu pecah dan berdarah


Strok iskemik

Strok jenis ini berlaku kerana terdapatnya sekatan atau pengurangan aliran
darah ke bahagian-bahagian otak. Sekatan ini berlaku disebabkan oleh
arterosklerosis dan juga pembentukan bekuan darah. Arterosklerosis
(artherosclerosis) atau pengerasan arteri adalah hasil dari pemendakan
kolesterol (cholesterol) dan plak pada dinding arteri. Endapan kolesterol ini
mampu menjadi cukup besar untuk menyempitkan pembuluh darah dan
seterusnya mengurangkan aliran darah. Ia juga mampu untuk mengurangkan
kemampuan arteri untuk anjal.

Trombus atau bekuan darah terjadi pada permukaan plak arterosklerosis yang
terbentuk pada dinding arteri. Trombus mampu membesar dan seterusnya
menyekat laluan dalam arteri. Sebahagian dari trombus ini boleh pecah lalu
membentuk embolus. Embolus akan melalui saluran darah dan mampu
menyekat arteri-arteri yang lebih kecil. Biasanya, embolus terhasil dari jantung di
mana beberapa penyakit boleh menyebabkan pembentukan trombus.
Kejadian yang menjurus kepada strok
Mangsa strok biasanya akan mengalami "strok kecil" ataupun tanda-tanda
amaran sebelum berlakunya serangan strok yang sebenar.

Serangan Iskemik Sementara atau Transient Ischaemic Attack (TIA) merupakan
serangan amaran (warning strokes) yang biasanya mengambil masa dari
beberapa minit hingga ke 24 jam. Tanda-tanda atau simptom yang timbul ini
biasanya akan pulih sepenuhnya. Adalah satu kelaziman bagi seseorang pesakit
mengalami beberapa siri serangan TIA ini sebelum mendapat strok yang
sebenar.

Reversible Ischaemic Neurological Deficit (RIND) pula ialah serangan yang
berakhir lebih daripada 24 jam. Jangkamasa pemulihan biasanya ialah 3 minggu.
Selepas setiap serangan RIND, tidak akan ada tisu-tisu yang musnah, tetapi
selepas satu serangan RIND, risiko mendapat infak yang lengkap akan
meningkat. Infaksi lengkap adalah serangan yang boleh menyebabkan
pemusnahan kekal pada tisu otak, dan boleh menyebabkan masalah seperti
pengurangan fungsi sistem saraf (neurologi) yang lebih serius. Penyembuhan
biasanya tidak sepenuhnya dan akan mengambil masa lebih daripada tiga
minggu.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home